PENGENALAN
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.
BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN
Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)
Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram.
Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu. Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.
Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.
(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)
Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.
BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH
Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.
Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).
Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
PERSELISIHAN PENDAPAT MENGENAI HADIS-HADIS BERKAITAN
KELEBIHAN BULAN REJAB
Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar ² bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)
“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”. (Hadis ini juga dhai’f)
“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)
Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.
Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.
Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.
Wallah hu’alam bissawab.
Rujukan:
1. Terjemahan Al-Quran Al-Karim
2. FIQH dan Perundangan Islam – Dr Wahbah Az-Zuhaili
3. Fikih Sunnah – Sayid Sabiq
4. Fatwa Masa Kini (Jilid 3 & 4) – Dr Yusuf Al-Qaradawi
5. Islam & Manusia (1001 Kemusyiklan) – Dr Abdul Hayei Abdul Sukor
6. Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban & Ramadzan – Budiman Radzi
7. Fatwa Online (Islam Online)
8. Dairi Islamiah 1999
9. Kuliah Zuhur – Maulana Syed Noor Muhammad (Kelulusan Mufti)
Tuesday, June 23, 2009
..:: Bulan Rejab Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah ::..
Posted by .:: ukhtinur ::. at 11:42 PM 0 comments
Friday, June 19, 2009
..:: Keluhan Subuh ::..
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku."Assalamualaikum", seru Subuh."Wa'alaikumsalam", sahutku.Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat."Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan."Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah- olah teringat sesuatu."Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka".Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh. "Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada Roti Shiyam",cadangku pada Subuh.Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kat Subuh. "Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh. "Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh.Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampirseparuh penuhnya. Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya.Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkn sebuah senyuman. "Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya,wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. "Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahku lagi esok hari?" "InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap."Assalamualaikum", seru Subuh."Waalaikumsalam", jawabku kembali.Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.
Posted by .:: ukhtinur ::. at 6:25 AM 0 comments
Sunday, June 14, 2009
~WARKAH BUAT ADAM~
~sumtin 2 think about (’,~)
Adam..
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. sesungguhnya aku adalah Hawa temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dulu.
Wahai adamku..
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.jadi tidak hairanlah perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.
Adam..
Maha Suci Allah yang menciptakan kaumku lebih ramai dari kaummu di akhir zaman,itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya.jika bilangan kaummu melebihi kaumku,nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,kacau bilaulah suasana.Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak lebih daripada empat pada satu waktu.
Adam..
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun.. terasa berat pula untuk menyatakan isi perkara.
Adam..
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam,
nyata dan rata-rata yang telah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya Allah menhendaki aku tinggal tetap di rumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di Bandar-bandar, bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku harus ditutup dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tapi realitinya kini Hawa telah lebih daripada sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku menguruskan hal Negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja uku memanjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyinsing peha mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adam..
Marahkah kau jika ku katakan Hawa terpesong, maka adam yang patut tanggung?Mengapa? Mengapa begitu ADAM? Ya, ramai orang berkata jika anak jahat, emak bapak tidak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam, kau selalu berkata, Hawa memang degil, tidak mahu dengar kata,tidak mudah makan nasihat,kepala batu, pada hematku yang daif ini.
Adam..
Seharusnya kau Tanya dirimu, adakah didikanmu terhadapku sama dengan didikan Nabi Muhammad s.a.w terhadap isteri-isterinya?Adakah Adam melayan Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka?Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam..
Kau sebenarya imam dan aku makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku.. akalku satu,nafsuku beribu! Dari itu Adam.. pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai, dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.bimbinglah aku untuk menyelami kalimah-kalimah Allah,perdengarkanlah aku kalimah syahadah syahdu daripada Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiupkanlah ruh jihad kedalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam..
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan kerenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar,maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur apabila kaumku yang memerintah., malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu..
Maafkan aku sekali lagi Adam..seandainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.., jauh sekali niatku membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu..Tetapi.. percayalah…,bukan emas kucari..bukan berlian yang kupinta.., tetapi…,hanyalah hati yang tulus ikhlas, dirimu Adam…Dengarlah.. keluhan hatiku buatmu…
Posted by .:: ukhtinur ::. at 1:54 AM 0 comments