Ramai yang tidak tahu bahawa ada beberapa pekara yang telah tercatit dalam hadis yang mengisahkan perbezaan darjat kaum wanita dan lelaki. Perbezaan-perbezaan ini yang menaikan darjat kaum wanita.Ciri- ciri tersebut disesenaraikan di bawah ini :-
1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".
2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dlm rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dgn 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
3. Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin,maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.
4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak,keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkanya.
5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.
7. Barangsiapa yang mengembirakan akan perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka keatas tubuhnya.
8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makan dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama,maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun)
10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.
11.Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.
12.Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?? Jawab Rasulullah," Suaminya. " "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".
13.Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
14.Wanita yang taat akan suaminya, ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.Masuklah dari mana? mana pintu yang di kehendaki dengan tidak dihisab.
16. Syurga itu dibawah tapak kaki ibu.
17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.
18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.
19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.
Jadi, janganlah sesekali kita merasa lemah.wanita sebenarnya yang membuat seseorang lelaki itu kuat. Itulah antara kelebihan wanita yang kita ketahui, selebihnya hanya ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui
Sunday, September 13, 2009
..:: Kemuliaan Wanita Islam ::..
Posted by .:: ukhtinur ::. at 6:56 PM 0 comments
Tuesday, June 23, 2009
..:: Bulan Rejab Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah ::..
PENGENALAN
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.
BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN
Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)
Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram.
Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu. Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.
Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.
(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)
Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.
BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH
Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.
Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).
Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
PERSELISIHAN PENDAPAT MENGENAI HADIS-HADIS BERKAITAN
KELEBIHAN BULAN REJAB
Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar ² bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)
“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”. (Hadis ini juga dhai’f)
“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)
Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.
Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.
Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.
Wallah hu’alam bissawab.
Rujukan:
1. Terjemahan Al-Quran Al-Karim
2. FIQH dan Perundangan Islam – Dr Wahbah Az-Zuhaili
3. Fikih Sunnah – Sayid Sabiq
4. Fatwa Masa Kini (Jilid 3 & 4) – Dr Yusuf Al-Qaradawi
5. Islam & Manusia (1001 Kemusyiklan) – Dr Abdul Hayei Abdul Sukor
6. Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban & Ramadzan – Budiman Radzi
7. Fatwa Online (Islam Online)
8. Dairi Islamiah 1999
9. Kuliah Zuhur – Maulana Syed Noor Muhammad (Kelulusan Mufti)
Posted by .:: ukhtinur ::. at 11:42 PM 0 comments
Friday, June 19, 2009
..:: Keluhan Subuh ::..
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku."Assalamualaikum", seru Subuh."Wa'alaikumsalam", sahutku.Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat."Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan."Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah- olah teringat sesuatu."Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka".Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh. "Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada Roti Shiyam",cadangku pada Subuh.Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kat Subuh. "Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh. "Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh.Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampirseparuh penuhnya. Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya.Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkn sebuah senyuman. "Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya,wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. "Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahku lagi esok hari?" "InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap."Assalamualaikum", seru Subuh."Waalaikumsalam", jawabku kembali.Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.
Posted by .:: ukhtinur ::. at 6:25 AM 0 comments
Sunday, June 14, 2009
~WARKAH BUAT ADAM~
~sumtin 2 think about (’,~)
Adam..
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. sesungguhnya aku adalah Hawa temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dulu.
Wahai adamku..
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.jadi tidak hairanlah perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.
Adam..
Maha Suci Allah yang menciptakan kaumku lebih ramai dari kaummu di akhir zaman,itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya.jika bilangan kaummu melebihi kaumku,nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,kacau bilaulah suasana.Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak lebih daripada empat pada satu waktu.
Adam..
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun.. terasa berat pula untuk menyatakan isi perkara.
Adam..
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam,
nyata dan rata-rata yang telah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya Allah menhendaki aku tinggal tetap di rumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di Bandar-bandar, bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku harus ditutup dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tapi realitinya kini Hawa telah lebih daripada sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku menguruskan hal Negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja uku memanjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyinsing peha mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adam..
Marahkah kau jika ku katakan Hawa terpesong, maka adam yang patut tanggung?Mengapa? Mengapa begitu ADAM? Ya, ramai orang berkata jika anak jahat, emak bapak tidak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam, kau selalu berkata, Hawa memang degil, tidak mahu dengar kata,tidak mudah makan nasihat,kepala batu, pada hematku yang daif ini.
Adam..
Seharusnya kau Tanya dirimu, adakah didikanmu terhadapku sama dengan didikan Nabi Muhammad s.a.w terhadap isteri-isterinya?Adakah Adam melayan Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka?Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam..
Kau sebenarya imam dan aku makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku.. akalku satu,nafsuku beribu! Dari itu Adam.. pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai, dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.bimbinglah aku untuk menyelami kalimah-kalimah Allah,perdengarkanlah aku kalimah syahadah syahdu daripada Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiupkanlah ruh jihad kedalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam..
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan kerenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar,maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur apabila kaumku yang memerintah., malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu..
Maafkan aku sekali lagi Adam..seandainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.., jauh sekali niatku membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu..Tetapi.. percayalah…,bukan emas kucari..bukan berlian yang kupinta.., tetapi…,hanyalah hati yang tulus ikhlas, dirimu Adam…Dengarlah.. keluhan hatiku buatmu…
Posted by .:: ukhtinur ::. at 1:54 AM 0 comments
Tuesday, April 7, 2009
PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM DI SEKOLAH
Apabila menyebut sahaja soal dakwah maka ia merupakan bicara tanggungjawab terhadap ummat Muhammad ke arah mengembangkan Islam.Sebagai seorang guru, nyata ia bukan merupakan perkara enteng yang dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi seorang guru Pendidikan Islam.
Umum mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu terus kepada anak muridnya .Menghapuskan kejahilan, memperkukuhkan amalan , menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah?.Begitulah bertuahnya guru Pendidikan Islam yang sudah tersedia jalan menuju redha Allah di samping menjalankan tugas sebagai pendidik.Sudah tersedia jalan dan ruang berdakwah yang nyata berjalan seiring dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa.Selain itu mereka merupakan pakar rujuk terutama di dalam selok belok agama bagi warga guru dan kakitangan sekolah.Inilah peluang-peluang yang dilihat seharusnya dimanfaatkan oleh Guru Pendidikan Islam di dalam meneruskan kesinambungan misi dakwah junjungan Besar nabi Muhammad S.A.W.
Allah telah menceritakan kepada kita bahawa Ummat Muhammad SAW adalah ummat yang terbaik yang diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan didalam Surah Al-Imran ayat 110:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Al-Imran ayat 110)
Dimanakah Ruangnya?
Ada yang bertanya di manakah ruangnya guru Pendidikan Islam ini berdakwah ketika berada di sekolah?.Mereka adalah pakar rujuk yang diakui kredibiliti dari sudut ilmu dan kepakaran di dalam bidang agama.Maka di sinilah mereka harus menggunakan kemampuan ilmu yang ada untuk menjernihkan kekeliruan apabila diajukan tentang persoalan berkait dengan aqidah, syariah, hukum-hakam serta akhlaq.Itulah ruangnya untuk mengemukakan panduan dan jawapan berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan Sunnah.Tidak salah untuk kita mengatakan guru pendidikan Islam ini sebagai pakar rujuk kepada guru-guru, kakitangan pentadbiran serta murid-murid.memang begitulah hakikat berdasarkan pengalaman penulis yang sentiasa diajukan permasalahan agama daripada rakan-rakan guru yang inginkan kepastian.Cabaran kepada pendakwah di sekolah ini ialah usaha untuk memastikan ilmu sentiasa cukup di dada bagi memberikan jawapan kepada permasalahan tersebut.
Selain itu, gerak laku Guru Pendidikan Islam sentiasa menjadi perhatian warga sekolah ataupun murid-murid.Maka disinilah peranan mereka untuk cuba menonjolkan akhlaq Rasulullah S.A.W. baik dari sudut percakapan, berpakaian, pergaulan malah gaya berjalan pun sentiasa menjadi buah mulut orang.Inilah yang dikatakan sebagai dakwah dengan contoh tauladan.Umum memang mengetahui andai Ustaz dan Ustazah ini berperilaku dengan akhlaq yang sopan, baik tingkah laku, mudah didekati , tidak mustahillah mereka akan sentiasa menjadi guru yang cukup dihormati rakan dan lawan.Kehadiran mereka ke kelas pasti dinanti oleh murid, malah terleka lima minit datang kelas pun akan diingatkan oleh murid-murid .Bukankan menjadi pendakwah ini juga memerlukan kita menarik minat dan mempengaruhi orang lain?.Seandainya anda mempunyai perwatakan seindah Rasulullah S.A.W. pasti anak murid menjadikan anda contoh dan tauladan untuk diikuti.Bahkan gaya rambut, berpakaian serta cara bercakap pun akan ditiru oleh mereka.
Guru Pendidikan Islam boleh mencegah kemungkaran?.Anda tidak perlu menunggu untuk dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa baru mencegah kemungkaran.Sebagai Guru Pendidikan Islam , anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk membetulkan segala kesilapan.Menegur untuk memperbetulkan keadaan tidak salah, asalkan kena dengan caranya.Itulah sebabnya Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Kalaulah Guru Pendidikan Islam hanya mengajar hukum-hakam agama tetapi tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekolah adakah mereka ini sudah menjalankan tugas dan amanah yang diberi?.Memberi nasihat , menegur salah laku murid, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik rakan sekerja, meleraikan pergaduhan di antara murid, itu semua tugas seorang pendakwah di sekolah.Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh hikmah agar tiada seorangpun yang terguris dan hati dan perasaannya .Hikmah dengan di dalam menegur, menasihati, bijaksana di dalam berhujah akan menjadikan guru Pendidikan Islam ini sebagai insan yang dihormati oleh semua warga sekolah.
Bagaimana caranya
Jika anda merupakan guru Pendidikan Islam yang sudah agak senior dan dihormati, anda merupakan orang yang tepat untuk melaksanakan sesi tazkirah dan ceramah kepada warga pendidik dan murid-murid.Gunakanlah peluang yang diberikan sebagai pendakwah ini di dalam perhimpunan, majis-majlis rasmi atau di mana-mana dan ketika yang dirasakan perlu.
Bagi guru Pendidikan Islam yang masih muda terutamanya guru-guru j-QAF yang masih baru di sekolah dan sedang membina hubungan yang baik dengan warga sekolah, anda mempunyai beberapa piihan untuk berdakwah.
Pilihan pertama bagi yang mempunyai kekuatan , peluang dan daya penarik yang baik, anda boleh terus berdakwah melalui sesi tazkirah , ceramah, sesi perbualan dan lain-lain lagi secara langsung.
Namun , bagi yang belum mempunyai kekuatan dan ruang, anda boleh menjadikan ruang penulisan sebagai platform untuk berdakwah.Penulis menggunakan kaedah ini dengan menulis artikel dakwah di suratkhabar, buletin panitia, serta di mana-mana ruang penulisan yang ada.Topik penulisan berkisar tentang peranan dan tugas guru, kepimpinan, amanah dan lain-lain lagi.Ini merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung tetapi berkesan menembusi dan menyentuh hati .Ia juga sedikit demi sedikit membina kredibiliti dan keyakinan kepada pendakwah muda untuk memulakan rentak dakwah.Di sekolah , wujudkan buletin Panitia Agama dan j-QAF untuk menerapkan artikel dan nasihat ringkas serta hadis dengan kata-kata hukama’ buat renungan warga sekolah.Jangan lupa untuk memuatkan ruangan uji minda dan sediakan hadiah kepada pemenang.Ia merupakan strategi supaya pembaca (madu’) akan setia dan tertunggu-tunggu siri-siri buletin dakwah yang akan datang .
Berdasarkan pengalaman penulis, anak-anak di sekolah sukakan aktiviti kesenian.Lihat sahaja andai diadakan pertandingan nasyid ketika perayaan Awal Muharam contohnya, pasti mereka sanggup berlatih dan bernasyid dengan bersungguh-sungguh.Di sinilah peluang Guru Pendidikan Islam untuk berdakwah.Rangkalah pendekatan dakwah yang menerapkan unsur kesenian dan aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak dan remaja.Tidak salah untuk menukar dan meniru format rancangan kesukaan remaja seperti Explorace, Cari Menantu, Akademi Al-Qur’an kepada yang relevan dalam konteks kita di sekolah.Akademi Nasyid boleh ditubuhkan di sekolah di dalam usaha pencarian bakat pelajar di dalam bidang nasyid.Rancangan Akademi Al-Qur’an juga boleh diadakan di sekolah di dalam memncari bakat Qari dan Qariah muda serta peluang untuk menerapkan ilmu tarannum buat persedian menghadapi Majlis Tilawah Al-Qur’an (MTQ).Penjenamaan semula aktiviti Islam dengan menamakan program tersebut seperti ‘Karnival Jom Cintai Rasul’, ‘Kempen Smart Salam’, ‘Mencari Cinta Rasul’, ‘Kem Bestari Solat’, ‘Perkampungan Bestari’, ‘Perkampungan Ilmu’, ‘Perkampungan Dakwah’, ‘Bersamamu Guru’, Minggu Semarak Pendidikan Islam’, dirasakan perlu di dalam memberikan nafas baru untuk menarik minat murid-murid menyertai aktiviti yang diadakan.
Kesimpulannya, ruang dakwah untuk Guru Pendidikan Islam amat terbuka luas , tepuk dada tanyalah iman .Samada anda adalah guru pendidikan Islam yang hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran tahunan, atau guru yang bertindak sebagai pendakwah di sekolah mengajak kepada kebaikan, menghapus kejahlan dan menentang kemungkaran.Sesungguhnya tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam menuntut seribu satu pengorbanan dan tauladan bagi insan yang mengimpikan suatu kebahagiaan dunia dan akhirat.
Posted by .:: ukhtinur ::. at 5:40 PM 0 comments
KELEBIHAN SOLAT DARI SUDUT KESIHATAN
Ulama Mutaakhirin termasuk pakar-pakar perubatan telah menemui pelbagai rahsia daripada solat. Di antara hasil kajian mereka ialah:
1. Waktu yang paling berkesan dapat meredakan tekanan(release stress) ialah ketika sujud
2. Gerakkan di dalam solat mempercepatkan penghadaman makanan serta melancarkan perjalanan darah.
3. Kajian saraf oleh seorang pakar neurologi di Amerika syarikat telah mendapati terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah, sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang mencukupi untuk berfungsi secara lebih normal. Setelah membuat kajian yang agak lama, barulah beliau menemui bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf tersebut melainkan ketika sujud sahaja. Urat saraf tersebut memerlukan darah pada sukatan yang tertentu . Ketika sujud waktu solat merupakan jangka masa terbaik untuk darah memasuki urat tersebut.
Posted by .:: ukhtinur ::. at 5:15 PM 0 comments
Saturday, April 4, 2009
Beritahu pada Muslimah
Beritahu pada muslimah itu
dirinya ibarat kaca;
disentuh terguris,
dihantuk serpih, dihempap berkecai.
Beritahu pada muslimah itu
jaga tutur kata;
cakap tinggi nanti dibenci,
terlalu rendah dipijak pula,
cakap sombong mengundang lawan,
hati-hati meluah kata,
kerana pulut santan binasa,
kerana mulut badan binasa.
Beritahu pada muslimah itu
jaga tingkah laku;
harga diri letaknya di situ,
jangan meluru ikut telunjuk nafsu,
sesekali tersilap langkah,
akan dihukum selamanya,
keturunan dicerca payah,
menyesal kemudian bukan faedah.
Beritahu pada muslimah itu
jaga pakaian;
ia cermin peribadi,
juga lambang bangsa,
di mana dan dalam keadaan macam manapun,
biar orang kenal...
Dia orang ISLAM.
Beritahu pada muslimah itu
simpan secebis malu;
kerana malu itu,
sebahagian dari iman...
Posted by .:: ukhtinur ::. at 6:11 PM 0 comments
Monday, March 30, 2009
Wanita Solehah
Keayuan wanita solehah itu,
Kepetahan wanita solehah,
Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa
Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Posted by .:: ukhtinur ::. at 12:23 AM 0 comments